Friday, May 9, 2008

Neurologi Semasa Hamil

Neurologi Semasa Hamil


Saya sedang hamil. Perlukah saya makan dua kali ganda daripada sebelumnya?

Anda tidak perlu makan sebanyak itu kerana wanita hamil memerlukan tenaga untuk tumbesaran janin, uri, rahim dan payu dara. Tenaga juga diperlukan untuk penyimpanan lemak dan proses metabolisme untuk mengekalkan kesemua tisu baru ini. Tubuh badan anda menjadi lebih efisien semasa hamil dan berupaya menyerap lebih banyak nutrien yang anda makan. Dengan memakan 2 kali ganda daripada biasa, belum tentu anda akan mendapat bayi yang sihat, sebaliknya anda mungkin mengalami peningkatan berat badan yang berlebihan.

Bagaimana saya perlu makan semasa hamil?

Pemakanan yang baik sangat penting untuk mendapatkan bayi yang sihat. Sesuatu kehamilan memerlukan 300 kalori tambahan sehari untuk mengekalkannya pada tahap yang sihat dan secara puratanya, wanita bersaiz biasa boleh menjangkakan peningkatan berat badan sebanyak 12 -15 kg sepanjang kehamilan. Bagaimanapun, kalori tambahan ini mestilah yang berkhasiat. Wanita hamil memerlukan diet yang seimbang, lengkap dengan protein, buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tulen, dan gula serta lemak yang sedikit.

Diet harian mestilah merangkumi:

  • 6 - 11 sajian nasi/bijirin atau roti.

  • 3 . 5 sajian sayur-sayuran dan buah-buahan (sekurang-kurangnya satu kaya dengan vitamin C manakala satu lagi kaya vitamin A).

  • 2 . 4 sajian susu atau hasil tenusu.

  • 3 . 4 sajian daging, ikan dan makanan protein yang lain termasuklah legum atau kekacang.

  • 6 . 8 gelas air dan satu minuman ringan atau secawan kopi sehari untuk menghadkan kafein.

Elakkan memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna, atau makanan dimasak yang mungkin telah tercemar di gerai atau restoran yang tidak bersih. Masakan sendiri adalah yang terbaik.

Diet yang diubahsuai secara khusus adalah untuk bakal ibu yang menghidap diabetes dan anemia.

Adakah semua bakal ibu memerlukan jumlah kalori yang sama?

Setiap bakal ibu perlulah merujuk kepada doktor mengenai keperluan pemakanan yang tertentu.

  • Wanita yang berlebihan berat badan mungkin lebih sihat jika mengurangkan pengambilan kalorinya.

  • Wanita yang kurang berat badan perlu makan lebih banyak.

  • Bakal ibu dari golongan remaja yang masih membesar dan mempunyai keperluan pemakanan yang lebih tinggi dari biasa memerlukan kalori yang lebih.

  • Ibu hamil kembar mempunyai keperluan pemakanan yang lebih untuk setiap bayi.

  • Bakal ibu yang menghidap diabetes dan wanita yang menghidap diabtetes semasa mengandung perlu mengawasi paras gula dalam darah dengan teliti.

Bagaimana makanan yang saya makan dibahagikan di antara keperluan saya dan anak dalam kandungan?

Doktor tidak memahami sepenuhnya bagaimana pembahagian zat makanan di antara anda dan bayi dalam kandungan dilakukan. Keperluan zat makanan anak diperolehi dari diet dan nutrien yang tersimpan di dalam tulang dan tisu ibu. Dahulu, janin yang berkembang telah dianggap sebagai 'parasit sempurna' yang mengambil semua zat makanan yang diperlukan dari ibunya tanpa mengambil kira diet ibu. Ini bermakna, jika diet ibu kekurangan zat tertentu contohnya kalsium, ia tidak mendatangkan masalah kerana janin dengan mudah dapat mengambil mineral berkenaan dari simpanan tulang dan gigi ibunya. Kini pakar percaya bahawa janin yang sedang membesar adalah paling terjejas sekiranya diet ibu kekurangan zat.

Berapakah jumlah berat badan yang perlu saya tambah semasa hamil?

Anda perlu menambah berat badan dan jangan risau apabila kelihatan bertambah besar. Sebenarnya, bagaimana berat badan anda bertambah adalah lebih penting daripada berapa banyak tambahan berat berkenaan. Penambahan berat badan semasa kehamilan mestilah berlaku secara beransur-ansur.

Berapa berat badan yang perlu ditambah semasa kehamilan bergantung kepada saiz badan, tahap aktiviti dan secekap mana anda menukarkan makanan kepada tenaga.

Jika anda kekurangan berat badan, anda perlu menambah berat badan sebanyak 12 hingga 18 kg. Jika berat badan anda biasa sahaja sebelum hamil, anda perlu menambah antara 11 dan 16 kg dan jika berat badan berlebihan, anda hanya perlu menambah antara 7 dan 11 kg. Jika anda hamil kembar, anda perlu menambah berat badan sebanyak 16 hingga 20 kg.

Ingatlah bahawa saranan peningkatan berat badan berubah-ubah mengikut masa. Oleh itu adalah penting untuk menumpukan perhatian kepada khasiat pemakanan anda berbanding pertambahan berat badan.

Bagaimana saya hendak menghilangkan lebihan berat badan yang bertambah semasa hamil?

Amalkan pemakanan yang sihat dan bersenamlah selalu semasa anda hamil dan selepas bersalin.

Kebanyakan berat badan yang terkumpul akan hilang sebaik sahaja anda melahirkan bayi. Berat bayi adalah lebih kurang 4 kg (bergantung kepada bila anda melahirkannya). Cecair amnion, uri, cecair badan tambahan dan darah di dalam badan pula menambah berat badan sebanyak 3.6 hingga 5.4 kg. Rahim dan payu dara yang semakin membesar mungkin menambah berat sebanyak 2 hingga 4 kg. Oleh itu tidak banyak baki berat badan yang tinggal untuk disingkirkan selepas bersalin.



Artikel Kesihatan untuk Rujukan dan Manfaat Kita bersama khas dari :
http://kitasihat.blogspot.com