Thursday, January 7, 2010

Klinik 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Penubuhan Klinik 1Malaysia di seluruh negara tidak akan menjejaskan pendapatan doktor dan klinik swasta, malah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya rakyat berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kewujudan 50 klinik yang beroperasi sepenuhnya bulan ini bukan saja memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan awal, malah pesakit dirujuk kepada doktor swasta untuk rawatan susulan.

Pada masa sama, Najib mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memastikan pendapatan pengamal perubatan tidak terjejas berikutan usaha kerajaan itu.

“Tidak terjejas, sebab pesakit dari Klinik 1Malaysia akan rujuk kepada mereka (klinik swasta). Jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

“Klinik ini untuk memudahkan rakyat mendapat pemeriksaan biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula. Untuk pemeriksaan lanjut, mereka boleh pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.

“Saya tidak anggap Klinik 1Malaysia sebagai situasi menang-kalah, tetapi situasi menang-menang, rakyat mudah dan doktor swasta akan dapat pelanggan macam biasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai, di sini semalam.

Turut hadir, Liow dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pelancaran klinik itu adalah yang pertama dilaksanakan, sekali gus menandakan pelancaran 44 klinik sama di seluruh negara yang sudah beroperasi setakat ini, manakala bakinya menjelang akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata, pelancaran klinik itu amat signifikan kerana ia dilaksanakan dalam tempoh singkat iaitu dua bulan selepas pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk 50 klinik.

Peruntukan untuk setahun itu membabitkan kerja ubah suai dan peralatan dalaman bangunan selain ubat-ubatan. Klinik itu beroperasi setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam yang dikendalikan seorang penolong pegawai perubatan, seorang jururawat terlatih dan seorang pembantu perawatan kesihatan yang bekerja dua syif.

Najib tidak menolak kemungkinan menambah lebih banyak Klinik 1Malaysia khususnya di kawasan bandar yang padat penduduk akibat penghijrahan ke bandar.

Katanya, buat masa ini, kerajaan akan menentukan keberkesanan perkhidmatan itu selain pendekatan baru yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan mutu perkhidmatan sebelum membuat sebarang ketetapan penambahan.

“Klinik ini kebanyakannya di bandar sebab di luar bandar sudah ada 2,000 klinik desa yang ditubuhkan sejak merdeka. Kadar caj juga sama sebanyak RM1... sangat murah, paling murah di dunia,” katanya.

Ketika melancarkan Klinik 1Malaysia di Rumah PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang, Najib menasihatkan rakyat sentiasa memantau secara berkala bacaan tekanan darah (BP) dan paras kandungan gula dalam tubuh kerana ia menjadi punca penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Selain itu, katanya, kewujudan klinik berkenaan akan membantu Kementerian Kesihatan mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan.

Sumber : Berita Harian

Health for a Lifetime only at :
http://kitasihat.blogspot.com

Artikel Kesihatan untuk Rujukan dan Manfaat Kita bersama khas dari :
http://kitasihat.blogspot.com