Wednesday, January 23, 2008

Bahaya Toksin

Apakah Toksin?

Toksin didefinisikan sebagai bahan kimia atau unsur berbahaya yang dihasilkan secara semula jadi atau bukan semula jadi atau mana-mana bahan yang tidak boleh digunakan atau dibuang oleh badan kita.

Toksin mungkin beracun dan boleh mengakibatkan pelbagai ancaman kepada kesihatan daripada kanser (karsinogen), penyakit perut kepada penyakit pertumbuhan dan pembelajaran. Toksin juga boleh mengakibatkan gangguan dan menghasilkan kesan buruk di dalam badan.

Toksin berada di mana-mana sahaja

Badan kita dipenuhi dengan toksin dan diserap masuk ke dalam badan kita melalui udara yang kita sedut, air yang kita minum dan makanan yang kita ambil.

Di dalam rumah pula, cecair pencuci, asap rokok, pencair dan alat penyegar udara turut menyumbang kepada persekitaran bertoksin. Di luar rumah, toksin dibawa oleh asap ekzos kenderaan, asap kilang, ubat perosak, udara yang tercemar, dan bahan kimia pertanian.

Badan juga akan menghasilkan toksin semasa proses metabolisme. Ketegangan berlebihan, diet yang kurang seimbang dan gaya kehidupan tidak sihat boleh menyumbang kepada badan bertoksik.

Bagaimanakah diet boleh mempengaruhi kita?

Makanan yang kita ambil setiap hari, daripada makanan segera kepada makanan sedap dalam restoran popular boleh memberi kesan negatif kepada badan kita dan menentukan sama ada kita akan menghidap pelbagai penyakit kronik atau menikmati kehidupan yang sihat.

Pengambilan terlalu banyak karbohidrat seperti tepung putih dan roti adalah seperti memakan bahan pelekat atau gam kerana ia tidak boleh melalui usus dengan mudah, sebaliknya ia melalui usus dengan sangat perlahan, ia melekat pada dinding usus dan menjejaskan proses perkumuhan.