Wednesday, July 29, 2009

A(H1N1): Mangsa ke-4 meninggal dunia

Ramli Abdul Aziz, 45, dari Taman Chempaka dari Peringgit Jaya menunjukkan gambar anaknya, Nur Syazwana Ramli, 20, yang meninggal dunia kerana Influenza A H1N1 semalam. Kes itu menjadikannya mangsa keempat yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini

PUTRAJAYA: Seorang wanita rakyat Malaysia berumur 20 tahun mati akibat Influenza A (H1N1) pagi semalam, menjadikannya mangsa keempat yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata wanita itu disahkan menghidap Influenza A (H1N1) selepas meninggal dunia pada pukul 9.40 pagi semalam.

"Wanita berkenaan mula demam, sakit tekak dan batuk sejak 16 Julai, bagaimanapun beliau hanya pergi mendapatkan rawatan selepas sakit selama 11 hari di Hospital Melaka pada 26 Julai.

"Pemeriksaan dan ujian awal mendapati beliau mengidap jangkitan kuman dalam darah yang dijangkiti daripada paru-paru, beliau kemudiannya dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Dr Ismail, wanita berkenaan mengalami berbagai kompilasi klinikal iaitu septisemia disebabkan oleh pneumonia, kegagalan buah pinggang dan kegagalan fungsi paru-paru.

"Mangsa akhirnya telah meninggal dunia disebabkan oleh pneumonia teruk yang dijangkiti daripada persekitaran," katanya.

Ditanya mengapa kementerian tidak mendedahkan kes berkenaan semalam, Dr Ismail berkata pihak hospital berkenaan hanya mengetahui mangsa dijangkiti H1N1 selepas kematiannya.

"Saya hanya dimaklumkan mengenai kematian wanita berkenaan pada awal pagi tadi," katanya.

Berhubung sama ada kementerian akan mengambil tindakan kepada pihak hospital yang gagal mengesan jangkitan H1N1 dengan segera hingga menyebabkan kematian, beliau berkata pihaknya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

"Kita tak mahu salahkan sesiapa, tapi apa yang penting ialah kita mahu nasihatkan kepada pesakit supaya lebih peka dengan masalah kesihatan mereka...dapatkan rawatan awal jika ada tanda-tanda jangkitan.

"Malah kita juga nasihatkan supaya para doktor lebih berhati-hati dan mengambil serius mengenai tanda-tanda H1N1 apabila pesakit datang berjumpa dengan mereka," katanya.

Mengenai situasi semasa, Dr Ismail berkata sejumlah 47 kes baru H1N1 dilaporkan di seluruh negara dan kesemuanya merupakan kes jangkitan tempatan iaitu 27 daripadanya merupakan kejadian dari enam kluster baru, 10 kes dari lima kluster sedia ada dan 10 kes lagi merupakan kes-kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes itu setakat ini meningkat kepada 1,266.

"Daripada 1,266 kes yang dilaporkan tersebut, 574 atau 45 peratus merupakan kes import dan 692 atau 55 peratus adalah jangkitan tempatan.

"Daripada jumlah ini, 1,233 kes atau 97 peratus telah sembuh, 24 kes atau dua peratus yang menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan orang atau satu peratus lagi sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

Beliau yang kesal dengan perkembangan terbaru mengenai H1N1 berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan jangkitan virus berkenaan dapat dikawal.

Dr Ismail yang sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza A (H1N1) berkata mesyuarat hari ini mengambil ketetapan bahawa semua pengamal perubatan sama ada di hospital atau klinik termasuk swasta hendaklah mempunyai tahap syak yang tinggi kepada kes-kes pneumonia yang disebabkan oleh H1N1.

Katanya kes-kes pneumonia terutama yang teruk hendaklah diuji kemungkinan jangkitan H1N1.

"H1N1 boleh menyebabkan severe pneumonia terutama jika jangkitan pada individu yang berisiko seperti gemuk, diabetes, penyakit respiratori kronik dan individu dengan imuniti rendah.

"Semua kes pneumonia yang teruk yang disyaki disebabkan oleh H1N1 juga hendaklah diberi rawatan antiviral influenza dengan dos diganda," katanya.

Beliau berkata ujian makmal untuk H1N1 setakat ini hanya boleh dibuat di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Hospital Sungai Buloh.

Malah katanya ujian makmal tersebut akan diperluas kepada hospital kerajaan negeri, dan untuk itu latihan dan kemudahan akan dibekalkan kepada hospital-hospital terlibat.

Sebanyak 21 hospital swasta telah diberi bekalan antiviral influenza untuk digunakan bagi merawat pesakit-pesakit H1N1 atau yang disyaki.

Dr Ismail juga berkata jawatankuasa teknikal di peringkat negeri juga akan diwujudkan, di mana Pengarah Kesihatan Negeri akan menyampaikan keputusan mesyuarat teknikal pusat kepada semua pihak yang terlibat termasuk doktor-doktor swasta.

Mengenai situasi global, Dr Ismail berkata sejumlah 169,753 kes dengan 1,125 kematian dilaporkan di 159 negara setakat pagi ini.

Sumber : mStar Online


Health for a Lifetime only at :
http://kitasihat.blogspot.com

Artikel Kesihatan untuk Rujukan dan Manfaat Kita bersama khas dari :
http://kitasihat.blogspot.com