Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana:
-
Toleran - kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya. Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini sehingga 1 gram setiap 2- 3 jam dalam jangkamasa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya. Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 - 15 hari akibat dadah ini.
-
Penagihan - Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu. Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan, keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk mendapatkan dadah tersebut.
-
Pengabaian diri - Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri. Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan , badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan. Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya.
-
Kurang daya tahan kepada penyakit - Pengguna syabu yang mengabaikan pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya tahan melawan penyakit.
-
Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang - Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti gila. Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak yang bolih menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir).
-
Gangguan metabolisma badan - dadah ini menyebabkan hilang selera yang ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas.
-
Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan - dadah ini menyebabkan degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah menyebabkan sakit ahmar.
-
Kerosakan pada sistem pernafasan - dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan menyebabkan masalah pernafasan.
-
Gangguan kepada saluran makanan - Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman
-
Bahaya semasa mengandung - penggunaan methamphetamine semasa mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran. Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental dan masalah tumbesaran .
-
Kemalangan jalanraya - pengguna syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalanraya akibat kesan kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik.
-
Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas - Hasil penyelidikan mendapati pengguna methamphetamine menjadi lebih berahi. Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka. Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin. Penggunaan methamphetamine dalam jangkamasa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.
-
Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit - penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi.
-
Masalah-masalah sosial lain - Semua aspek kehidupan seseorang termasuk keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat dadah ini. Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah. Di tempat kerja penyalahguna dadah ini akan bermasalah disebabkan sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada keganasan. Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung ketagihan mereka. Sifat paranoia dan ganas ini bolih menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan. Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan “National Guard” dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia akhirnya ditembak oleh polis.