Tuesday, February 5, 2008

BAGAIMANA CARA SYABU DIGUNAKAN? - PART 2 of 5

Syabu, seperti Ecstacy, dilaporkan disalahgunakan oleh remaja selalunya di pesta-pesta liar, di pesta tari-menari , di kelab-kelab malam, disko, tempat karaoke dan lain-lain tempat hiburan untuk menaikkan mood seseorang dan daya ketahanan fizikal.

Syabu boleh didapati dalam berbagai-bagai bentuk dan boleh digunakan secara suntikan, dihisap secara merokok, ditelan atau disedut melalui hidung.

Penggunaan secara suntikan atau dihisap secara ' chasing the dragon' mendatangkan kesan segera keseronokan. Penggunaan secara disedut melalui hidung memberikan kesan dalam 3-5 minit sementara jika ditelan kesannya diperolehi selepasa 15-20 minit. Kedua-dua cara pengambilan dadah jenis ini iaitu dengan cara disedut atau dimakan akan menghasilkan “euphoria” -mengkhayalkan tetapi tidak dengan kesan segera. Kesan dadah ini akan bertahan sehingga 4 -24 jam.

Kesan toleran ke atas dadah ini terjadi dengan cepat - iaitu kesan seronok akibat dadah ini lenyap sebelum kandungan dadah berkurangan dalam darah - penggunanya akan cuba meneruskan kesan khayal dengan penggunaan dadah ini secara berulangkali (dikenali sebagai “bingeing”). Walaubagaimanapun, setiap episod kekhayalan ini semakin kurang keseronokannya dan lebih banyak syabu diperlukan untuk mencapai kekhayalan. Pengguna dadah ini yang dahulunya memakan atau menyedut dadah ini akan bertukar kepada menghisap atau menyuntik dadah ini untuk mendapatkan kesan seronok yang lebih dan cepat.

Kesan khayal dan keseronokan ini dipercayai akibat pengeluaran dopamine, penghantar neuro di otak yang mengawal perasaan seronok/gembira.

APAKAH KESAN SEGERA SYABU?

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa “euphoria” - rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.

Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala.

Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.

Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.