Monday, April 21, 2008

Komplikasi Dan Ujian Dadah - PART 4 of 5

Komplikasi

Penggunaan dadah dan alkohol yang berlebihan dan berpanjangan boleh memusnahkan pelbagai organ dalam badan. Alkohol terutamanya, mampu merosakkan hati, otak dan jantung. Hati yang telah dirosakkan oleh alkohol kurang berupaya untuk membuang sisa-sisa toksik yang terkumpul di dalam badan. Individu yang berada dalam keadaan koma hepatik menjadi lemah, mengantuk, pengsan, bingung dan biasanya tangan mereka akan menggeletar. Koma hepatik boleh membawa maut dan perlu dirawat dengan segera.

Penagih dadah terutamanya yang berkongsi jarum suntikan yang kotor boleh mengalami kerosakan pada otak, hati, paru-paru, tulang dan sistem imun. Kuman yang berjangkit dari jarum yang tidak steril itu kadangkala boleh menjangkiti otak dan menyebabkan meningitis serta otak bernanah. Virus hepatitis yang juga boleh merebak melalui perkongsian jarum, boleh menyebabkan kerosakan hati. Kebanyakan penagih dadah akan mula menyuntik dadah secara subkutanus (di bawah kulit) yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit atau kudis. Apabila dadah telah disuntik ke dalam vena ( salur darah ), parut boleh terbentuk pada tisu yang terlibat dan menjadikan salur venanya tersumbat. Seterusnya masalah dengan sistem imun pula akan muncul. Oleh kerana HIV (Human Immunodeficiency Virus) boleh merebak melalui perkongsian jarum, ramai penagih dadah akan dijangkiti penyakit AIDS

Penggunaan dadah yang berlebihan boleh membahayakan nyawa kerana ia boleh menyebabkan gangguan pada pernafasan dan seterusnya boleh membawa maut. Ini disebabkan oleh bekalan darah ke otak telah berkurangan, menyebabkan koma dan seterusnya membawa maut.

Ujian - Ujian

Penyalahgunaan dadah yang masih di peringkat awal jarang-jarang dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal. Penyiasatan yang biasa dijalankan termasuklah mengesan bahan yang disalahgunakan itu di dalam air kencing ataupun di dalam darah. Namun bagitu, ujian air kencing ini adalah tidak sensitif bagi mereka yang mengambil dadah secara bersela (tidak berterusan). Kes penyalahgunaan alkohol pula boleh dikesan pada nafas atau darah individu yang terlibat. Pengesanan pada rambut pula adalah berguna bagi mengesan dadah yang telah disalahgunakan untuk jangkamasa yang panjang.


Artikel dipetik dari Kementerian Kesihatan untuk Rujukan dan Manfaat Kita bersama khas dari :
http://kitasihat.blogspot.com