Saturday, April 12, 2008

TALASEMIA - PART 1 of 4

Talasemia

Talasemia ialah satu penyakit yang diwarisi iaitu penyakit kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah. Hemoglobin merupakan bahan yang mengangkut oksigen dan memberi warna merah kepada darah.

Setiap tahun, lebih kurang 100,000 bayi di seluruh dunia dilahirkan mengalami talasemia major. Talasemia major paling kerap berlaku di kalangan mereka yang berketurunan Itali, Greek, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Afrika.

Nama lain bagi Talasemia Major Ialah Talasemia Beta Homozigus, Anemia Mediterranean dan Anemia Cooley.

Gejalanya;

  • Keletihan yang teruk.

  • Sesak nafas.

  • Jaundis.

  • Limpa membesar.

  • Kecacatan tulang (muka berupa mongoloid).

Jenis-jenis Talasemia

Talasemia Beta

Ia disebabkan oleh mutasi yang terjadi dalam gen globin beta.

Individu yang mewarisi satu gen Talasemia Beta dari ibu atau bapa dikenali sebagai Talasemia minor atau trait (ciri). Talasemia trait bukanlah suatu penyakit dan individu yang mempunyainya boleh meneruskan kehidupan yang dikira normal. Mereka merupakan pembawa kepada gen yang abnormal ini dan selalu digelar 'pembawa Talasemia yang sihat'. Mereka mempunyai paras hemoglobin yang rendah sedikit daripada biasa. Kekurangan ini selalunya lebih ketara ketika hamil. Sel darah merah mereka juga bersaiz kecil sedikit daripada biasa.

Individu yang mewarisi dua gen Talasemia Beta, satu gen abnormal daripada ibu dan satu daripada bapa dikenali sebagai penghidap Talasemia major. Ia merupakan penyakit yang biasa terjadi di Malaysia.

Individu Talasemia major menghasilkan rantaian beta globin yang sedikit berbanding normal.

Sumsum tulang mereka tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang mencukupi kerana ia tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi.

Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini selalunya mengalami anemia diantara 6-18 bulan selepas dilahirkan.

Mereka memerlukan pemindahan darah yang berkala untuk meneruskan kehidupan.

Kanak-kanak yang tidak dirawat biasanya akan sakit ketika berumur di antara 2-4 tahun. Mereka menjadi pucat, tumbesaran terbantut dengan kecacatan tulang dan limpa membesar

Health for a Lifetime only at :
http://kitasihat.blogspot.com