Friday, April 18, 2008

PENYEBAB DEMAM DENGGI - PART 2 of 5

Apakah penyebab demam denggi?

Penyakit demam denggi berpunca dari 4 jenis virus denggi yang dipindahkan kepada manusia melalui nyamuk Aedes yang telah dijangkiti.

Pada asasnya terdapat 4 jenis virus denggi iaitu flavivirus DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Semua nyamuk Aedes berupaya bertindak sebagai vektor virus denggi sebelum memindahkannya kepada manusia. Walau bagaimanapun, vektor utama virus ini ialah nyamuk Aedes Aegypti. Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes Albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Apakah faktor yang meningkatkan risiko denggi?

Pada asasnya, mereka yang tinggal di kawasan endemik denggi dan terdedah kepada nyamuk Aedes menghadapi risiko dijangkiti demam ini.

Kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit denggi ialah:

  • Penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi.
  • Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah. Penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan ini.

Bagaimanakah kedudukan penyakit ini?

Kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah di Malaysia adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala kadar kematian atau mortaliti demam denggi dan demam denggi berdarah pada tahun 1998 adalah masing-masing 0.22 dan 0.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 buah negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat Sebelum tahun 1970, hanya sembilan buah negara mengalami epidemik denggi. Bilangan yang merupakan peningkatan 4 kali ganda di sekurang-kurangnya 41 buah negara dalam tahun 1995. Perangkaan yang lain adalah seperti di bawah . Seramai 2500 juta manusia - iaitu 2/5 penduduk dunia - sekarang ini menghadapi risiko demam denggi. Tanpa rawatan yang bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15% atau lebih.